Hak-hak Pelarian
Sebagai seorang manusia di muka bumi ini, setiap
orang berhak menikmati hak asas sebagai seorang manusia. Walaubagaimanapun, hak
asasi manusia sebagai pelarian telah dicabuli dan mereka tidak mendapat hak
yang sepatutnya diterima oleh mereka.
Pelarian adalah mereka yang tidak dapat
pulang ke negara asal disebabkan kebimbangan akan ditindas semula berpuncakan
kepada perbalahan antara sesama bangsa, agama, kewarganegaraan dan pandangan
politik. Sebagai pelarian mereka mempunyai hak asasi sebagai pelarian sebelum
status mereka diiktiraf secara rasmi dibawah peruntukan undang-undang
antarabangsa. Walaubagaimanapun, pelarian di Malaysia adalah tertakluk dibawah
peruntukan Akta Imigresen 1959/53 (pindaan 2002) dimana mereka masih dianggap
sebagai pendatang “haram”, ini disebabkan ketiadaan undang-undang khas bagi
pelarian.
Maka, hak pelarian ini dicabuli
sebagai seorang manusia dibawah Perkara 1 Perisytiharaan sejagat hak manusia
iaitu semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan
hak-hak mereka. Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Orang
Pelarian (UNHCR) telah menganggarkan jumlah pelarian di Malaysia di antara 90
000 kepada lebih daripada 170 000 orang.
UNHCR ialah sebuah agensi yang
bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan serta masyarakat awam untuk
melindungi pelarian dan membantu dalam memenuhi kebajikan mereka sementara
mereka memohon perlindungan sementara di Malaysia. Hak pelarian ini disokong
kuat oleh Amnesty International iaitu satu pergerakan seluruh dunia yang
mempunyai seramai 2.8 juta penyokong, ahli dan aktivis di lebih daripada 150 Negara
dan wilayah yang berkempen untuk menamatkan penganiayaan yang serius terhadap
hak asasi manuasia.
Tujuan pergerakan ini adalah untuk
memastikan setiap orang dapat menikmati semua hak yang termaktub dalam
Peristiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat
dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa yang lain. Terdapat banyak cara
penyelesaian yang telah dilakukan oleh UNHCR untuk memastikan pelarian
menikmati hak yang sepatutnya dinikmati oeleh mereka.
Konsep
Pelarian
Pelarian merupakan orang yang melarikan diri ke
Negara lain disebabkan oleh revolusi yang terjadi di negara mereka atau yang
terjadi disebabkan serangan oleh musuh. Menurut UNHCR ( Pesuruhjaya Tinggi
Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian) mentakrifkan pelarian sebagai seorang
yang tidak mampu melindungi diri sendiri, orang yang melarikan diri daripada
perang, orang yang dianiaya disebabkan oleh bangsa, agama, kerakyatan, keahlian
mereka dalam kumpulan sosial yang tertentu dan pegangan politik mereka. Mereka
ini wajar mendapat pelindungan antarabangsa. Keadaan pelarian pada dekad ini
telah menunjukkan bahawa ia merupakan cabaran semula jadi yang mesti ditempuhi
dalam sesebuah negara yang sedang mengejar kemajuan dan pembangunan.
Penetapan
Status Pelarian
Kerajaan bagi sesebuah Negara memperkenalkan
prosedur pengenalpastian status pelarian dengan merujuk kepada sistem
undang-undang kerajaan mereka sendiri bagi mengenal pasti hak dan status
pelarian di sesebuah negara tersebut. Hal ini penting kerana ia akan dapat
menjamin hak pelarian mereka agar mereka dapat menikmati hidup yang lebih
selesa di Negara lain dan bukannnya menerima penindasan yang lebih teruk
seperti dianayia, dieksploitasi, ditangkap malahan akan dibunuh.
Secara amnya mereka yang memohon
status pelarian negara perlu menyatakan bahawa ketakutan mereka terhadap
sesuatu hukuman adalah bertempat. Selain mendapatkan status dari negara lain,
mereka juga boleh mendapatkan pelindungan antarabangsa iaitu mendapatkan
jaminan dan perlindungan daripada negara atau kerajaan mereka sendiri untuk
melindungi hak asasi dan keselamatan fizikal. Namun, kebiasaannya, dalam kes
pelarian, negara asal pelarian tidak berkemampuan untuk melindungi hak-hak
asasi mereka. Sebenarnya, pelarian mampu untuk mendapatkan hak yang sama rata
seperti penduduk yang menetap di negara tersebut. Hak seperti pertolongan asas,
ekonomi, sosial, rawatan perubatan dan sebagainya perlu diberikan kepada
pelarian yang memerlukannya.
Kegagalan
Dalam Melaksanakan Hak Pelarian
Dalam isu pelarian, kebanyakan negara tidak dapat
menerima pelarian dalam negara mereka dan pelarian ini gagal untuk mendapatkan
hak-hak mereka di negara tersebut. Secara rasminya, Malaysia tidak mengiktiraf
golongan pelarian dan masih menganggap mereka sebagai pendatang haram. Mereka
masih tidak mendapat status yang sah disisi undang-undang dan hak untuk
bekerja. Malaysia gagal memahami hak-hak asasi pelarian serta pengurusan
pelarian yang sewajarnya.
Hal ini kerana Malaysia tidak
mempunyai undang-undang khas bagi pelarian. Maka, negara Malaysia tidak dapat
memberikan hak yang terbaik bagi pelarian. Isu pelarian juga tertakluk di bawah
Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dimana semua pelarian dianggap sebagai
pendatang asing tanpa izin (PATI). Oleh kerana Malaysia tiada undang-undang
khas, pelarian ini diletakkan dan berdaftar dibawah UNHCR.
Seramai 90,301 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan UNHCR.(sumber: www.malaysiakini.com/news). Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf pelarian, namun negara ini masih terikat dengan undang-undang adat antarabangsa iaitu non-refoulment iaitu seseorang itu tidak boleh dikembalikan kepada negara dimana berlakunya penindasan atau pelanggaran hak manusia dan mereka tidak boleh ditolak permohonan masuk ketika berada di sempadan sesebuah negara. Walaupun terikat dengan undang-undang tersebut, namun Malaysia tetap melaksanakan hukuman kepada pelarian yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang tinggal di Malaysia tanpa permit akan dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, sebatan tidak melebihi enam kali, membayar denda dan termasuk hukuman rotan. Bagi mereka yang tinggal di negara ini melebihi visa yang ditetapkan, mereka akan dipenjara seperti tempoh penjara kemasukan haram, denda dan dirotan.
Dalam
perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa sesiapa yang ditahan hendaklah
dibawa kehadapan majistret dalam masa 24 jam atau dibebaskan.
Walaubagaimanapun, sesiapa yang bukan warganegara dan ditahan kerana melanggar
imigresen boleh ditahan sehingga 14 hari sebelum dibawa kehadapan majistret.
Kemudian, mereka akan dihantar ke pusat tahanan imigresen untuk satu tempoh
yang dinyatakan.
Sejarah
Statistik Pelarian Di Malaysia
Pelarian adalah masalah sejagat.
Berdasarkan statistik, hampir setiap negara terjejas dengan pelarian dan
Malaysia tidak terkecuali. Ia akan berterusan menjadi satu masalah tetapi lebih
mudah menanganinya jika semua negara bekerjasama. Negara terbesar yang
menghasilkan pelarian yang memberi kesan kepada Malaysia pada suatu pada masa
ialah Myanmar dan fenomena ini berlarutan lebih 10 hingga 15 tahun. UNHCR
memulakan operasi di Malaysia pada 1975 di mana pada peringkat awalnya untuk
menangani masalah pelarian Vietnam. Ia juga membantu kerajaan Malaysia dalam
menerima dan menempatkan semula lebih 50, 000 orang Islam Filipina yang lari
dari Mindanao ke Sabah pada 1970-an hingga 1980-an. UNHCR juga membantu
kerajaan dalam menempatkan semula beberapa ribu orang Islam Cham dari Kampuchea
pada tahun 1980-an dan beberapa ratus pelarian Bosnia pada 1990-an.
Isu
pelarian Vietnam yang mendarat dengan ramainya di negara ini untuk mencari
perlindungan daripada pemerintahan komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam
pada April 1975. Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian
di Pulau Bidong (sebuah pulau kecil di Terengganu) sebelum kebanyakan mereka
diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis,
New Zealand, Sweden, Finland, Denmark dan Norway. Kira-kira 9,000 pelarian
Vietnam kembali ke Vietnam dengan bantuan UNHCR. Malahan selepas khemah Pulau
Bidong ditutup pada Oktober 1991, Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat
perlindungan untuk pelarian daripada beberapa negara lain sehingga ke hari ini.
Menurut Alan Vernon, Pesuruhjaya tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR),
terdapat kira-kira 50 juta pelarian di seluruh dunia.
Di Malaysia terdapat
sekitar 88,100 pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik
berdaftar dengan pejabat UNHCR sehingga penghujung Mei 2010. Mereka ini diberi
kad UNHCR sebagai tanda pengenalan diri. Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu
mengharungi pelbagai pahit getir. Mereka juga datang ke Malaysia kerana mereka
tahu mereka boleh hidup dengan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil.
Tindakan Penyelesaian UNHCR
Pelarian yang Ada di
Malaysia tidak diletakkan di dalam Khemah
Di Malaysia, pelarian yang ada tidak
akan ditempatkan di dalam khemah sebagai penempatan. Komuniti pelarian akan
tinggal di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara dan sering kali
bilangan yang besar terpaksa berkongsi tempat tinggal di dalam ruang yang
sempit. Kadang kala orang
berfikir khemah adalah penyelesaian yang baik untuk pelarian tetapi pada
dasarnya tinggal di khemah pelarian akan menambah lebih banyak penderitaan.
Jika pelarian masih diletakkan di dalam khemah, ramai yang akan bergantung
kepada bantuan kebajikan dan penjagaan. Seringkali juga apabila khemah pelarian
diwujudkan, ia akan berpanjangan berbanding situasi lain kerana khemah
mempunyai kehidupan yang tersendiri. Menurut Vernon, kerajaan Malaysia
mengambil langkah positif dengan tidak menyekat pergerakan pelarian yang
bererti mereka boleh berusaha untuk mencari nafkah bagi menyara keperluan
kehidupan mereka.
Penempatan Semula
Selepas sesebuah negara menerima
pelarian di negaranya, langkah penempatan semula haruslah segera dilakukan
untuk memindahkan mereka ke negara ketiga. Menurut Vernon, pihaknya
mengemukakan lebih daripada 10,000 pelarian untuk penempatan semula tetapi
mengulangi itu bukanlah penyelesaian untuk semua orang. Penyelesaian terbaik
untuk pelarian ialah pulang ke negara asal masing-masing. Untuk itu perlu ada
rangka kerja perundangan. Ini amatlah penting untuk memastikan pelarian
dilindungi dan selamat sehingga sampai masanya mereka boleh pulang ke negara
mereka. Sesetengah daripada mereka boleh ditempatkan semula di negara lain
tetapi ia bukan penyelesaian untuk setiap pelarian. Sebagai rekod, Malaysia
tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian. Memang penting
untuk menandatangani Konvensyen Pelarian tetapi jika sesebuah kerajaan itu
tidak bersedia untuk berbuat demikian kita masih boleh mengadakan dasar serta
prosedur dalam menangani isu pelarian. Kesulitan besar sekiranya mereka
melakukannya tanpa dasar dan prosedur, semua perlu dibuat berdasarkan budi
bicara. Ia juga tidak memberi panduan kepada semua peringkat kerajaan.
Pelarian Diberikan Hak Yang Formal
Memandangkan masalah pelarian mungkin
tidak selesai dalam masa terdekat, cabaran umum ialah mencari jalan bagi
memenuhi keperluan pelarian dan dalam masa yang sama melindungi kepentingan
tuan rumah secara keseluruhan. Pelarian dan suaka perlu diberi hak yang formal
untuk bekerja. Juga penting bagi suaka dan pelarian dilindungi daripada
penganiayaan dan peras ugut, terutamanya pasukan RELA hendaklah menghentikan
dengan segera tugas-tugas berkaitan imigresen. Pembaharuan segera adalah perlu
untuk mengecualikan pencari suaka dan pelarian daripada hukuman jenayah yang
berkaitan dengan masalah migrasi, pada masa yang sama, komuniti antarabangsa
boleh menyokong usaha ini dengan menyediakan pertambahan peluang penempatan
semula kepada pelarian dalam Malaysia, dan dengan menawarkan bantuan kewangan
kepada UNHCR untuk memudahkan keupayaan mereka untuk mendaftar, memproses dan
membantu pelarian.
Menambahkan usaha
untuk melindungi pelarian terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak dari
segala bentuk keganasan termasuklah menyasarkan sumber untuk menambah akses
kepada bantuan perubatan dan representasi undang-undang serta mendirikan tempat
kediaman yang selamat.
Menyediakan Status Formal Yang Sah
Satu daripada langkah yang penting
dengan menyediakan status formal yang sah kepada pelarian dan pencari suaka dan
mewujudkan sistem pendaftaran di mana mereka akan diberikan dokumen pengenalan.
Ini boleh memastikan akses kepada kelayakan yang berkaitan dan penghormatan
kepada hak asasi, termasuklah hak untuk tidak ditangkap dan ditahan secara
sewenang-wenangnya, dan hendaklah diiktiraf sepenuhnya oleh pihak yang
bertanggungjawab atau pihak lain yang bertindak bagi pihak mereka. Sementara
itu, penguat kuasa Malaysia hendaklah bekerjasama dengan UNHCR untuk memastikan
bahawa proses pendaftaran yang sedia ada menyediakan perlindungan yang
diperlukan. Memberi keutamaan untuk mendapat sumber tambahan untuk pejabat
mereka agar mereka boleh menambahbaikkan kapasiti mereka untuk menentukan
status pelarian dengan segera berikutan dari bertambahnya angka pelarian yang
didaftarkan dalam Malaysia, termasuklah untuk menambah kapasiti bagi
pendaftaran dan pemprosesan rakyat bukan Myanmar.
Sentiasa Memastikan
Pelarian Tidak Kebal Undang-Undang
Menurut Vernon, UNHCR sentiasa
berusaha untuk memastikan pelarian tidak terlibat dalam apa jua kesalahan
selama mereka menduduki sesebuah negara itu. Pekerja pembangunan komuniti UNHCR
serta yang lain sering keluar untuk bercakap dengan pelarian dan menggalakkan
mereka supaya mematuhi undang-undang. Pelarian tidak kebal undang-undang kerana
jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh ditangkap dan dibicara seperti
orang lain. Pelarian yang menpunyai kad UNHCR bukan boleh melindungi mereka.
Pelarian mesti patuh kepada undang-undang dan perlu sedar kehadiran mereka di
negara ini tidak boleh diambil ringan. Mereka seakan tetamu di negara ini dan
perlu berkelakuan sebagai tetamu. Jangan bertindak yang boleh menyebabkan
rakyat Malaysia berasa terancam dan tidak gembira dengan kehadiran mereka, kata
Vernon.
Menyediakan Mereka Peluang Ekonomi
Dasar yang lebih baik jelas Vernon,
ialah dengan memindahkan pelarian di negara ini ke tempat lain supaya tidak
bertumpu di satu-satu tempat sahaja. Sebahagian besar pelarian berada di Kuala
Lumpur. Cara yang terbaik untuk memindahkan pelarian secara serentak adalah
dengan memberikan peluang pekerjaan secara sah. Mereka boleh bekerja di sektor
perladangan, pengilangan dan pembinaan. Sesetengah pelarian mempunyai kemahiran yang amat baik dan begitu
berguna sekali untuk majikan di Malaysia. Kawalan serta peraturan yang lebih
baik terhadap keadaan pelarian dan merupakan salah satu langkah mengelakkan
eksploitasi.
Langkah ini diambil
sebagai salah satu cara untuk menjadikan pelarian lebih berdikari dari segi
pekerjaan supaya mereka tidak menjadi beban di mana ini akan hanya mencetuskan
masalah sosial. Pelarian telah menjejaskan Malaysia di masa lampau dan ia masih
berlaku sehingga ke hari ini. Jumlah pelarian mungkin bertambah dan berkurangan
tetapi lebih elok jika ada dasar dan sistem untuk menangani isu ini secara yang
boleh dijangkakan dan menguruskannya dengan lebih teratur.
Memberikan Pendidikan Kepada Kanak-Kanak Pelarian
Terdapat kira-kira 19,000 pelarian
kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yan berdaftar dengan UNHCR. Seramai 10,600
daripada kanak-kanak itu dalam usia bersekolah. Bagaimanapun dianggarkan kurang
daripada separuh kanak-kanak pelarian yang sepatutnya menghadiri sekolah tidak
mempunyai peluang untuk mendapatkan sebarang bentuk pendidikan. Jika
kanak-kanak tidak diberikan pendidikan, ini akan merosakkan masa depan mereka
dan boleh mencetuskan masalah sosial di kemudian hari.
Kerajaan Malaysia
telah menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu untuk
menyediakan pendidikan bagi anak-anak pelarian. Bagaimanapun, beliau
memberitahu NGO berkenaan mengalami kesulitan kewangan serta sumber lain dalam
menyediakan pendidikan yang diperlukan bagi anak-anak pelarian. Oleh yang
demikian, komuniti pelarian sendiri seharusnya mengambil daya usaha untuk mengatur
program pendidikan untuk anak-anak mereka. Anak-anak pelarian bolehlah
menyumbang kepada komuniti mereka apabila mereka pulang ke negara mereka.
Sokongan Organisasi Lain Untuk Mengatasi Masalah
Pelarian
UNHCR berharap dapat bekerja lebih
rapat lagi dengan kerajaan, NGO serta orang awam untuk memperbaiki kualiti dan
peluang pendidikan bagi komuniti pelarian negara ini. Ulasan Vernon yang
bersetuju dengan keadaan ramai yang melakukan banyak perkara dan berpendapat
dalam keadaan itu, setiap orang akan bersetuju bahawa apa jua keadaan,
kanak-kanak tidak harus menjadi mangsa. Mereka tidak memilih untuk datang ke
Malaysia,ibu bapa mereka yang telah membuat keputusan untuk datang ke Malaysia,
jadi kita haruslah bekerjasama untuk memperbaiki keadaan hidup mereka. Dalam
hal itu, semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada NGO, sukarelawan
dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu. Tambah Vernon, pelarian juga mempunyai
peranan yang tidak kurang pentingnya.
Pelarian
Membentuk Jawatankuasa Sendiri
UNHCR mempunyai pasukan untuk
memperkasa komuniti pelarian supaya mereka mempunyai jawatankuasa kepimpinan
yang boleh menjaga komuniti masing-masing. “Kita akan cuba bekerja dengan semua
dan akan cuba menggalakkan mereka sebanyak mungkin tetapi kita perlu realistik
bahawa ada kumpulan lain yang lebih baik dari kumpulan lain. Ada kumpulan yang
mudah membentuk kumpulan dan menjaga kepentingan mereka. Sementara yang lainnya
terpaksa berhempas-pulas untuk berbuat demikian. Ada kumpulan yang memberi
ruang untuk kaum wanita menyertai kepimpinan, ada yang tidak berapa bersetuju.”
kata Vernon. Kumpulan pelarian ini tidak mahu mencari susah kerana mereka tahu
keadaan mereka yang serba-serbi payah dan mereka tidak boleh mendapat bantuan
kerajaan mereka. Mereka juga tahu mereka hanya boleh mengadu kepada UNHCR dan
pihak berkuasa Malaysia. Hidup mereka sudah susah dan mereka tahu risiko jika
terlibat dalam kegiatan yang tidak baik.
Cadangan
Yang Dikemukakan
Menurut Amnesty
International, terdapat banyak cadangan yang dikemukakan oleh
pihaknya kepada kerajaan Malaysia keatas
pelarian pelarian yang berada di Malaysia. Antara cadangannya termasuklah
kerajaan Malaysia perlu memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja yang ingin
memasuki Negara ini dimana dengan niat merka untuk melindungi diri mereka dan
memastikan mereka mendapat akses segera kepada UNHCR. Selain daripada itu,
mereka juga mencadangkan supaya pihak kerajaan Malaysia memperkenalkan sistem
kad ID yang bertujuan untuk menyediakan hak yang sah untuk terus berada dalam
Negara semasa proses penentuan suaka serta memberi kelayakan kapada mereka
keatas perkhidmatan yang sepatutnya diterima oleh pihak mereka dan memastikan
kad ID mereka dihormati oleh semua peringkat penguatkuasa imigresen dimana
pemilik kad ID tidak akan ditangkap , ditahan atau diusir keluar dari Negara
ini.
Tambahan lagi, pihak kerajaan juga
perlu menghapuskan dengan serta merta semua tugas dan kuasa berkaitan dengan
imigresen daripada RELA, termasuklah kuasa untuk menahan pelarian ini dan
memastikan bahawa pelarian kanak-kanak yang tiada pengiring iaitu penjaga,
orang tua, wanita yang sedang hamil dan semua mangsa-mangsa trauma tidak akan
ditahan sama sekali atas sebab-sebab yang berkaitan dengan penghijrahan. Selain
itu, mereka perlu dilayan dengan rasa penuh hormat oleh pihak imigresen dan
perlu memenuhi piawaian antarabangsa terhadap penggunaan kekerasan.
Selain daripada
cadangan yang diberikan kepada pihak kerajaan Malaysia, pihak Amnesty
International juga memberi beberapa cadangan kepada pihak UNHCR, iaitu pihak
UNHCR perlu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan
dokumen pengenalan diikiraf dan sah digunakan oleh semua pihak yang terlibat
dalam pengawalan penghijrahan. Selain daripada itu, mereka jua mencadangkan
supaya pihak UNHCR mengadakan kempen yang disasar dan ditujukan kepada para
pelarian dan Negara tuan rumah untuk memastikan terdapatnya persefahaman
terhadap hak dan tanggungjawab pelarian yang
berbentuk kesedaran dan advokasi dan meneruskan usaha untuk memastikan
bahawa individu yang ditangkap disebabkan kehadiran yang tidak mengikut
peraturan di Malaysia diberi akses secara segera kepada UNHCR sekiranya mereka
mahu. Bagi mematikan para pelarian dilindungi daripada keganasan dan penyalahgunaan
hak asasi yang lain, pihak UNHCR perlu menyasarkan sumber untuk menambah akses
kepada bantuan perubatan dan representasi undang-undang serta mendirikan tempat
tinggal yang selamat kepada mereka terutamanya bagi golongan wanita dan
kanak-kanak. Sejajar dengan Dasar Pelarian Bandar UNHCR, cadangan bagi
meneruskan proses membaiki kemudahan penerimaan bagi mereka yang menunggu di
luar dan di dalam kawasan UNHCR bagi melancarkan tugas pihak UNHCR.
Kesimpulan
Pelarian ialah seseorang yang keluar daripada Negara
asal dan masuk ke Negara lain tanpa sah disebabkan kebimbangan mengenai
keselamatan mereka dan ketakutan terhadap penganiayaan dan penyeksaan yang akan
diterima oleh mereka dari Negara asal. Walaupun mereka ini dikatakan telah
mencerobohi Negara lain tanpa sah atau tanpa kebenaran, hak asasi mereka
terutama perlindungan dan keselamatan seharusnya dijaga oleh Negara ‘dicerobohinya’.
Mereka berhak mendapat hak keperluan asas seperti hak tempat tinggal, hak mendapatkan
makanan yang berkhasiat selain hak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
Antara Negara yang tidak terkecuali menerima pelarian atau sinonim dengan tanggapan
‘pendatang asing’ ialah Negara Malaysia sendiri. Melihatkan kemelut yang
dihadapi oleh Negara dalam menangani isu pembanjiran pelarian yang begitu
membimbangkan suatu masa dahulu , UNHCR didapati telah melakukan pelbagai
penyelesaian bagi memastikan pelarian menerima hak-hak mereka dengan salah satu
caranya ialah dengan menyediakan dokumen pengenalan diri bagi pelarian dan
mengadakan kerjasama dengan Negara-negara lain seperti Negara ketiga. Walaupun
begitu, masih terdapat masalah-masalah yang timbul antaranya sikap degil serta
kurangnya informasi kepada sesetengah pelarian dimana mereka masih lagi tidak merujuk kepada UHNRC bagi memperoleh
kad pengenalan serta sesetengah pelarian yang dilaporkan masih tetap ditangkap
dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa walaupun telah mempunyai dokumen
pengenalan diri yang disediakan oleh pihak UNHCR. Hak pelarian ini seharusnya
dihormati sepenuhnya oleh semua pihak termasuklah pihak berkuasa dan kerajaan. Walaupun pihak berkenaan dikatakan
mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak terhadap orang pelarian namun hak-hak
yang berkaitan dengan hak asasi manusia haruslah dipandang berat sekalipun
mereka dianggap sebagai pendatang haram atau pendatang tanpa izin. Pihak
berwajib dan kerajaan haruslah menyediakan undang-undang khas bagi memastikan
hak-hak orang pelarian ini dilindungi dan terjamin sepanjang berada di Negara
‘dicerobohinya’. Ini disebabkan bukan atas kerelaan mereka untuk melarikan diri
dari Negara asal ke nagara lain untuk
berlindung namun disebabkan krisis dan kemelut yang dihadapi oleh Negara asal
telah memaksa mereka. Dengan itu, sebagai seorang manusia yang menjadi mangsa
keadaan, mereka berhak mendapat hak asas sebagaimana manusia lain yang juga
warganegara bagi Negara yang ‘dicerobohinya’ itu kerana pada asasnya hak bagi
semua manusia itu adalah sama sahaja.



