Tuesday, December 15, 2015

Hak-hak Pelarian


Hak-hak Pelarian

Sebagai seorang manusia di muka bumi ini, setiap orang berhak menikmati hak asas sebagai seorang manusia. Walaubagaimanapun, hak asasi manusia sebagai pelarian telah dicabuli dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya diterima oleh mereka.
Pelarian adalah mereka yang tidak dapat pulang ke negara asal disebabkan kebimbangan akan ditindas semula berpuncakan kepada perbalahan antara sesama bangsa, agama, kewarganegaraan dan pandangan politik. Sebagai pelarian mereka mempunyai hak asasi sebagai pelarian sebelum status mereka diiktiraf secara rasmi dibawah peruntukan undang-undang antarabangsa. Walaubagaimanapun, pelarian di Malaysia adalah tertakluk dibawah peruntukan Akta Imigresen 1959/53 (pindaan 2002) dimana mereka masih dianggap sebagai pendatang “haram”, ini disebabkan ketiadaan undang-undang khas bagi pelarian.
Maka, hak pelarian ini dicabuli sebagai seorang manusia dibawah Perkara 1 Perisytiharaan sejagat hak manusia iaitu semua manusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi kemuliaan dan hak-hak mereka. Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Orang Pelarian (UNHCR) telah menganggarkan jumlah pelarian di Malaysia di antara 90 000 kepada lebih daripada 170 000 orang.
UNHCR ialah sebuah agensi yang bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan serta masyarakat awam untuk melindungi pelarian dan membantu dalam memenuhi kebajikan mereka sementara mereka memohon perlindungan sementara di Malaysia. Hak pelarian ini disokong kuat oleh Amnesty International iaitu satu pergerakan seluruh dunia yang mempunyai seramai 2.8 juta penyokong, ahli dan aktivis di lebih daripada 150 Negara dan wilayah yang berkempen untuk menamatkan penganiayaan yang serius terhadap hak asasi manuasia.
Tujuan pergerakan ini adalah untuk memastikan setiap orang dapat menikmati semua hak yang termaktub dalam Peristiharaan Hak Asasi Manusia  Sejagat dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa yang lain. Terdapat banyak cara penyelesaian yang telah dilakukan oleh UNHCR untuk memastikan pelarian menikmati hak yang sepatutnya dinikmati oeleh mereka. 

Konsep Pelarian
Pelarian merupakan orang yang melarikan diri ke Negara lain disebabkan oleh revolusi yang terjadi di negara mereka atau yang terjadi disebabkan serangan oleh musuh. Menurut UNHCR ( Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian) mentakrifkan pelarian sebagai seorang yang tidak mampu melindungi diri sendiri, orang yang melarikan diri daripada perang, orang yang dianiaya disebabkan oleh bangsa, agama, kerakyatan, keahlian mereka dalam kumpulan sosial yang tertentu dan pegangan politik mereka. Mereka ini wajar mendapat pelindungan antarabangsa. Keadaan pelarian pada dekad ini telah menunjukkan bahawa ia merupakan cabaran semula jadi yang mesti ditempuhi dalam sesebuah negara yang sedang mengejar kemajuan dan pembangunan.

Penetapan Status Pelarian
Kerajaan bagi sesebuah Negara memperkenalkan prosedur pengenalpastian status pelarian dengan merujuk kepada sistem undang-undang kerajaan mereka sendiri bagi mengenal pasti hak dan status pelarian di sesebuah negara tersebut. Hal ini penting kerana ia akan dapat menjamin hak pelarian mereka agar mereka dapat menikmati hidup yang lebih selesa di Negara lain dan bukannnya menerima penindasan yang lebih teruk seperti dianayia, dieksploitasi, ditangkap malahan akan dibunuh.


Secara amnya mereka yang memohon status pelarian negara perlu menyatakan bahawa ketakutan mereka terhadap sesuatu hukuman adalah bertempat. Selain mendapatkan status dari negara lain, mereka juga boleh mendapatkan pelindungan antarabangsa iaitu mendapatkan jaminan dan perlindungan daripada negara atau kerajaan mereka sendiri untuk melindungi hak asasi dan keselamatan fizikal. Namun, kebiasaannya, dalam kes pelarian, negara asal pelarian tidak berkemampuan untuk melindungi hak-hak asasi mereka. Sebenarnya, pelarian mampu untuk mendapatkan hak yang sama rata seperti penduduk yang menetap di negara tersebut. Hak seperti pertolongan asas, ekonomi, sosial, rawatan perubatan dan sebagainya perlu diberikan kepada pelarian yang memerlukannya.

Kegagalan Dalam Melaksanakan Hak Pelarian

Dalam isu pelarian, kebanyakan negara tidak dapat menerima pelarian dalam negara mereka dan pelarian ini gagal untuk mendapatkan hak-hak mereka di negara tersebut. Secara rasminya, Malaysia tidak mengiktiraf golongan pelarian dan masih menganggap mereka sebagai pendatang haram. Mereka masih tidak mendapat status yang sah disisi undang-undang dan hak untuk bekerja. Malaysia gagal memahami hak-hak asasi pelarian serta pengurusan pelarian yang sewajarnya.

Hal ini kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang khas bagi pelarian. Maka, negara Malaysia tidak dapat memberikan hak yang terbaik bagi pelarian. Isu pelarian juga tertakluk di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dimana semua pelarian dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Oleh kerana Malaysia tiada undang-undang khas, pelarian ini diletakkan dan berdaftar dibawah UNHCR.

            Seramai 90,301 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan UNHCR.(sumber: www.malaysiakini.com/news). Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf pelarian, namun negara ini masih terikat dengan undang-undang adat antarabangsa iaitu non-refoulment iaitu seseorang itu tidak boleh dikembalikan kepada negara dimana berlakunya penindasan atau pelanggaran hak manusia dan mereka tidak boleh ditolak permohonan masuk ketika berada di sempadan sesebuah negara. Walaupun terikat dengan undang-undang tersebut, namun Malaysia tetap melaksanakan hukuman kepada pelarian yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang tinggal di Malaysia tanpa permit akan dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, sebatan tidak melebihi enam kali, membayar denda dan termasuk hukuman rotan. Bagi mereka yang tinggal di negara ini melebihi visa yang ditetapkan, mereka akan dipenjara seperti tempoh penjara kemasukan haram, denda dan dirotan.

Dalam perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa sesiapa yang ditahan hendaklah dibawa kehadapan majistret dalam masa 24 jam atau dibebaskan. Walaubagaimanapun, sesiapa yang bukan warganegara dan ditahan kerana melanggar imigresen boleh ditahan sehingga 14 hari sebelum dibawa kehadapan majistret. Kemudian, mereka akan dihantar ke pusat tahanan imigresen untuk satu tempoh yang dinyatakan.

Sejarah Statistik Pelarian Di Malaysia
Pelarian adalah masalah sejagat. Berdasarkan statistik, hampir setiap negara terjejas dengan pelarian dan Malaysia tidak terkecuali. Ia akan berterusan menjadi satu masalah tetapi lebih mudah menanganinya jika semua negara bekerjasama. Negara terbesar yang menghasilkan pelarian yang memberi kesan kepada Malaysia pada suatu pada masa ialah Myanmar dan fenomena ini berlarutan lebih 10 hingga 15 tahun. UNHCR memulakan operasi di Malaysia pada 1975 di mana pada peringkat awalnya untuk menangani masalah pelarian Vietnam. Ia juga membantu kerajaan Malaysia dalam menerima dan menempatkan semula lebih 50, 000 orang Islam Filipina yang lari dari Mindanao ke Sabah pada 1970-an hingga 1980-an. UNHCR juga membantu kerajaan dalam menempatkan semula beberapa ribu orang Islam Cham dari Kampuchea pada tahun 1980-an dan beberapa ratus pelarian Bosnia pada 1990-an.
            Isu pelarian Vietnam yang mendarat dengan ramainya di negara ini untuk mencari perlindungan daripada pemerintahan komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam pada April 1975. Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian di Pulau Bidong (sebuah pulau kecil di Terengganu) sebelum kebanyakan mereka diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, New Zealand, Sweden, Finland, Denmark dan Norway. Kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke Vietnam dengan bantuan UNHCR. Malahan selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991, Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat perlindungan untuk pelarian daripada beberapa negara lain sehingga ke hari ini. Menurut Alan Vernon, Pesuruhjaya tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), terdapat kira-kira 50 juta pelarian di seluruh dunia.
Di Malaysia terdapat sekitar 88,100 pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka politik berdaftar dengan pejabat UNHCR sehingga penghujung Mei 2010. Mereka ini diberi kad UNHCR sebagai tanda pengenalan diri. Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu mengharungi pelbagai pahit getir. Mereka juga datang ke Malaysia kerana mereka tahu mereka boleh hidup dengan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil.
Tindakan Penyelesaian UNHCR
Pelarian yang Ada di Malaysia tidak diletakkan di dalam Khemah
Di Malaysia, pelarian yang ada tidak akan ditempatkan di dalam khemah sebagai penempatan. Komuniti pelarian akan tinggal di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara dan sering kali bilangan yang besar terpaksa berkongsi tempat tinggal di dalam ruang yang sempit.          Kadang kala orang berfikir khemah adalah penyelesaian yang baik untuk pelarian tetapi pada dasarnya tinggal di khemah pelarian akan menambah lebih banyak penderitaan. Jika pelarian masih diletakkan di dalam khemah, ramai yang akan bergantung kepada bantuan kebajikan dan penjagaan. Seringkali juga apabila khemah pelarian diwujudkan, ia akan berpanjangan berbanding situasi lain kerana khemah mempunyai kehidupan yang tersendiri. Menurut Vernon, kerajaan Malaysia mengambil langkah positif dengan tidak menyekat pergerakan pelarian yang bererti mereka boleh berusaha untuk mencari nafkah bagi menyara keperluan kehidupan mereka.
Penempatan Semula
Selepas sesebuah negara menerima pelarian di negaranya, langkah penempatan semula haruslah segera dilakukan untuk memindahkan mereka ke negara ketiga. Menurut Vernon, pihaknya mengemukakan lebih daripada 10,000 pelarian untuk penempatan semula tetapi mengulangi itu bukanlah penyelesaian untuk semua orang. Penyelesaian terbaik untuk pelarian ialah pulang ke negara asal masing-masing. Untuk itu perlu ada rangka kerja perundangan. Ini amatlah penting untuk memastikan pelarian dilindungi dan selamat sehingga sampai masanya mereka boleh pulang ke negara mereka. Sesetengah daripada mereka boleh ditempatkan semula di negara lain tetapi ia bukan penyelesaian untuk setiap pelarian. Sebagai rekod, Malaysia tidak memeterai Konvensyen 1951 berhubung kedudukan pelarian. Memang penting untuk menandatangani Konvensyen Pelarian tetapi jika sesebuah kerajaan itu tidak bersedia untuk berbuat demikian kita masih boleh mengadakan dasar serta prosedur dalam menangani isu pelarian. Kesulitan besar sekiranya mereka melakukannya tanpa dasar dan prosedur, semua perlu dibuat berdasarkan budi bicara. Ia juga tidak memberi panduan kepada semua peringkat kerajaan.

Pelarian Diberikan Hak Yang Formal
Memandangkan masalah pelarian mungkin tidak selesai dalam masa terdekat, cabaran umum ialah mencari jalan bagi memenuhi keperluan pelarian dan dalam masa yang sama melindungi kepentingan tuan rumah secara keseluruhan. Pelarian dan suaka perlu diberi hak yang formal untuk bekerja. Juga penting bagi suaka dan pelarian dilindungi daripada penganiayaan dan peras ugut, terutamanya pasukan RELA hendaklah menghentikan dengan segera tugas-tugas berkaitan imigresen. Pembaharuan segera adalah perlu untuk mengecualikan pencari suaka dan pelarian daripada hukuman jenayah yang berkaitan dengan masalah migrasi, pada masa yang sama, komuniti antarabangsa boleh menyokong usaha ini dengan menyediakan pertambahan peluang penempatan semula kepada pelarian dalam Malaysia, dan dengan menawarkan bantuan kewangan kepada UNHCR untuk memudahkan keupayaan mereka untuk mendaftar, memproses dan membantu pelarian.
Menambahkan usaha untuk melindungi pelarian terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak dari segala bentuk keganasan termasuklah menyasarkan sumber untuk menambah akses kepada bantuan perubatan dan representasi undang-undang serta mendirikan tempat kediaman yang selamat.
Menyediakan Status Formal Yang Sah
Satu daripada langkah yang penting dengan menyediakan status formal yang sah kepada pelarian dan pencari suaka dan mewujudkan sistem pendaftaran di mana mereka akan diberikan dokumen pengenalan. Ini boleh memastikan akses kepada kelayakan yang berkaitan dan penghormatan kepada hak asasi, termasuklah hak untuk tidak ditangkap dan ditahan secara sewenang-wenangnya, dan hendaklah diiktiraf sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab atau pihak lain yang bertindak bagi pihak mereka. Sementara itu, penguat kuasa Malaysia hendaklah bekerjasama dengan UNHCR untuk memastikan bahawa proses pendaftaran yang sedia ada menyediakan perlindungan yang diperlukan. Memberi keutamaan untuk mendapat sumber tambahan untuk pejabat mereka agar mereka boleh menambahbaikkan kapasiti mereka untuk menentukan status pelarian dengan segera berikutan dari bertambahnya angka pelarian yang didaftarkan dalam Malaysia, termasuklah untuk menambah kapasiti bagi pendaftaran dan pemprosesan rakyat bukan Myanmar.
Sentiasa Memastikan Pelarian Tidak Kebal Undang-Undang
Menurut Vernon, UNHCR sentiasa berusaha untuk memastikan pelarian tidak terlibat dalam apa jua kesalahan selama mereka menduduki sesebuah negara itu. Pekerja pembangunan komuniti UNHCR serta yang lain sering keluar untuk bercakap dengan pelarian dan menggalakkan mereka supaya mematuhi undang-undang. Pelarian tidak kebal undang-undang kerana jika mereka melanggar undang-undang mereka boleh ditangkap dan dibicara seperti orang lain. Pelarian yang menpunyai kad UNHCR bukan boleh melindungi mereka. Pelarian mesti patuh kepada undang-undang dan perlu sedar kehadiran mereka di negara ini tidak boleh diambil ringan. Mereka seakan tetamu di negara ini dan perlu berkelakuan sebagai tetamu. Jangan bertindak yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia berasa terancam dan tidak gembira dengan kehadiran mereka, kata Vernon.
Menyediakan Mereka Peluang Ekonomi
Dasar yang lebih baik jelas Vernon, ialah dengan memindahkan pelarian di negara ini ke tempat lain supaya tidak bertumpu di satu-satu tempat sahaja. Sebahagian besar pelarian berada di Kuala Lumpur. Cara yang terbaik untuk memindahkan pelarian secara serentak adalah dengan memberikan peluang pekerjaan secara sah. Mereka boleh bekerja di sektor perladangan, pengilangan dan pembinaan. Sesetengah pelarian  mempunyai kemahiran yang amat baik dan begitu berguna sekali untuk majikan di Malaysia. Kawalan serta peraturan yang lebih baik terhadap keadaan pelarian dan merupakan salah satu langkah mengelakkan eksploitasi.
Langkah ini diambil sebagai salah satu cara untuk menjadikan pelarian lebih berdikari dari segi pekerjaan supaya mereka tidak menjadi beban di mana ini akan hanya mencetuskan masalah sosial. Pelarian telah menjejaskan Malaysia di masa lampau dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini. Jumlah pelarian mungkin bertambah dan berkurangan tetapi lebih elok jika ada dasar dan sistem untuk menangani isu ini secara yang boleh dijangkakan dan menguruskannya dengan lebih teratur.
Memberikan Pendidikan Kepada Kanak-Kanak Pelarian
Terdapat kira-kira 19,000 pelarian kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yan berdaftar dengan UNHCR. Seramai 10,600 daripada kanak-kanak itu dalam usia bersekolah. Bagaimanapun dianggarkan kurang daripada separuh kanak-kanak pelarian yang sepatutnya menghadiri sekolah tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan sebarang bentuk pendidikan. Jika kanak-kanak tidak diberikan pendidikan, ini akan merosakkan masa depan mereka dan boleh mencetuskan masalah sosial di kemudian hari.
Kerajaan Malaysia telah menyatakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu untuk menyediakan pendidikan bagi anak-anak pelarian. Bagaimanapun, beliau memberitahu NGO berkenaan mengalami kesulitan kewangan serta sumber lain dalam menyediakan pendidikan yang diperlukan bagi anak-anak pelarian. Oleh yang demikian, komuniti pelarian sendiri seharusnya mengambil daya usaha untuk mengatur program pendidikan untuk anak-anak mereka. Anak-anak pelarian bolehlah menyumbang kepada komuniti mereka apabila mereka pulang ke negara mereka.
 Sokongan Organisasi Lain Untuk Mengatasi Masalah Pelarian
UNHCR berharap dapat bekerja lebih rapat lagi dengan kerajaan, NGO serta orang awam untuk memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan bagi komuniti pelarian negara ini. Ulasan Vernon yang bersetuju dengan keadaan ramai yang melakukan banyak perkara dan berpendapat dalam keadaan itu, setiap orang akan bersetuju bahawa apa jua keadaan, kanak-kanak tidak harus menjadi mangsa. Mereka tidak memilih untuk datang ke Malaysia,ibu bapa mereka yang telah membuat keputusan untuk datang ke Malaysia, jadi kita haruslah bekerjasama untuk memperbaiki keadaan hidup mereka. Dalam hal itu, semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada NGO, sukarelawan dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu. Tambah Vernon, pelarian juga mempunyai peranan  yang tidak kurang pentingnya.

Pelarian Membentuk Jawatankuasa Sendiri
UNHCR mempunyai pasukan untuk memperkasa komuniti pelarian supaya mereka mempunyai jawatankuasa kepimpinan yang boleh menjaga komuniti masing-masing. “Kita akan cuba bekerja dengan semua dan akan cuba menggalakkan mereka sebanyak mungkin tetapi kita perlu realistik bahawa ada kumpulan lain yang lebih baik dari kumpulan lain. Ada kumpulan yang mudah membentuk kumpulan dan menjaga kepentingan mereka. Sementara yang lainnya terpaksa berhempas-pulas untuk berbuat demikian. Ada kumpulan yang memberi ruang untuk kaum wanita menyertai kepimpinan, ada yang tidak berapa bersetuju.” kata Vernon. Kumpulan pelarian ini tidak mahu mencari susah kerana mereka tahu keadaan mereka yang serba-serbi payah dan mereka tidak boleh mendapat bantuan kerajaan mereka. Mereka juga tahu mereka hanya boleh mengadu kepada UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia. Hidup mereka sudah susah dan mereka tahu risiko jika terlibat dalam kegiatan yang tidak baik.
Cadangan Yang Dikemukakan
Menurut Amnesty International, terdapat banyak cadangan yang dikemukakan oleh pihaknya  kepada kerajaan Malaysia keatas pelarian pelarian yang berada di Malaysia. Antara cadangannya termasuklah kerajaan Malaysia perlu memberi kebenaran kepada sesiapa sahaja yang ingin memasuki Negara ini dimana dengan niat merka untuk melindungi diri mereka dan memastikan mereka mendapat akses segera kepada UNHCR. Selain daripada itu, mereka juga mencadangkan supaya pihak kerajaan Malaysia memperkenalkan sistem kad ID yang bertujuan untuk menyediakan hak yang sah untuk terus berada dalam Negara semasa proses penentuan suaka serta memberi kelayakan kapada mereka keatas perkhidmatan yang sepatutnya diterima oleh pihak mereka dan memastikan kad ID mereka dihormati oleh semua peringkat penguatkuasa imigresen dimana pemilik kad ID tidak akan ditangkap , ditahan atau diusir keluar dari Negara ini.
Tambahan lagi, pihak kerajaan juga perlu menghapuskan dengan serta merta semua tugas dan kuasa berkaitan dengan imigresen daripada RELA, termasuklah kuasa untuk menahan pelarian ini dan memastikan bahawa pelarian kanak-kanak yang tiada pengiring iaitu penjaga, orang tua, wanita yang sedang hamil dan semua mangsa-mangsa trauma tidak akan ditahan sama sekali atas sebab-sebab yang berkaitan dengan penghijrahan. Selain itu, mereka perlu dilayan dengan rasa penuh hormat oleh pihak imigresen dan perlu memenuhi piawaian antarabangsa terhadap penggunaan kekerasan.
Selain daripada cadangan yang diberikan kepada pihak kerajaan Malaysia, pihak Amnesty International juga memberi beberapa cadangan kepada pihak UNHCR, iaitu pihak UNHCR perlu terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan dokumen pengenalan diikiraf dan sah digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam pengawalan penghijrahan. Selain daripada itu, mereka jua mencadangkan supaya pihak UNHCR mengadakan kempen yang disasar dan ditujukan kepada para pelarian dan Negara tuan rumah untuk memastikan terdapatnya persefahaman terhadap hak dan tanggungjawab pelarian yang  berbentuk kesedaran dan advokasi dan meneruskan usaha untuk memastikan bahawa individu yang ditangkap disebabkan kehadiran yang tidak mengikut peraturan di Malaysia diberi akses secara segera kepada UNHCR sekiranya mereka mahu. Bagi mematikan para pelarian dilindungi daripada keganasan dan penyalahgunaan hak asasi yang lain, pihak UNHCR perlu menyasarkan sumber untuk menambah akses kepada bantuan perubatan dan representasi undang-undang serta mendirikan tempat tinggal yang selamat kepada mereka terutamanya bagi golongan wanita dan kanak-kanak. Sejajar dengan Dasar Pelarian Bandar UNHCR, cadangan bagi meneruskan proses membaiki kemudahan penerimaan bagi mereka yang menunggu di luar dan di dalam kawasan UNHCR bagi melancarkan tugas pihak UNHCR.

Kesimpulan
Pelarian ialah seseorang yang keluar daripada Negara asal dan masuk ke Negara lain tanpa sah disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka dan ketakutan terhadap penganiayaan dan penyeksaan yang akan diterima oleh mereka dari Negara asal. Walaupun mereka ini dikatakan telah mencerobohi Negara lain tanpa sah atau tanpa kebenaran, hak asasi mereka terutama perlindungan dan keselamatan seharusnya dijaga oleh Negara ‘dicerobohinya’. Mereka berhak mendapat hak keperluan asas seperti hak tempat tinggal, hak mendapatkan makanan yang berkhasiat selain hak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Antara Negara yang tidak terkecuali menerima pelarian atau sinonim dengan tanggapan ‘pendatang asing’ ialah Negara Malaysia sendiri. Melihatkan kemelut yang dihadapi oleh Negara dalam menangani isu pembanjiran pelarian yang begitu membimbangkan suatu masa dahulu , UNHCR didapati telah melakukan pelbagai penyelesaian bagi memastikan pelarian menerima hak-hak mereka dengan salah satu caranya ialah dengan menyediakan dokumen pengenalan diri bagi pelarian dan mengadakan kerjasama dengan Negara-negara lain seperti Negara ketiga. Walaupun begitu, masih terdapat masalah-masalah yang timbul antaranya sikap degil serta kurangnya informasi kepada sesetengah pelarian dimana mereka masih lagi  tidak merujuk kepada UHNRC bagi memperoleh kad pengenalan serta sesetengah pelarian yang dilaporkan masih tetap ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa walaupun telah mempunyai dokumen pengenalan diri yang disediakan oleh pihak UNHCR. Hak pelarian ini seharusnya dihormati sepenuhnya oleh semua pihak termasuklah pihak berkuasa dan  kerajaan. Walaupun pihak berkenaan dikatakan mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak terhadap orang pelarian namun hak-hak yang berkaitan dengan hak asasi manusia haruslah dipandang berat sekalipun mereka dianggap sebagai pendatang haram atau pendatang tanpa izin. Pihak berwajib dan kerajaan haruslah menyediakan undang-undang khas bagi memastikan hak-hak orang pelarian ini dilindungi dan terjamin sepanjang berada di Negara ‘dicerobohinya’. Ini disebabkan bukan atas kerelaan mereka untuk melarikan diri dari Negara asal  ke nagara lain untuk berlindung namun disebabkan krisis dan kemelut yang dihadapi oleh Negara asal telah memaksa mereka. Dengan itu, sebagai seorang manusia yang menjadi mangsa keadaan, mereka berhak mendapat hak asas sebagaimana manusia lain yang juga warganegara bagi Negara yang ‘dicerobohinya’ itu kerana pada asasnya hak bagi semua manusia itu adalah sama sahaja.

 

4 comments:

  1. assalamualaikum

    terima kasih atas perkongsian berkaitan hak pelarian. manusia di dunia ini wajar ada sifat tanggungjawab terhadap seluruh pelarian.

    muhammad fairuz firdaus bin paimin
    GB02523
    fairuzfirdauspaimin.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perkongsian. Yang mana tak berterima kasih tu perlulah diajar. Dan kalau betul betul x boleh ubah, usir saja. Anak anak kecil yang masih suci lagi perlulah kita berikan perlindungan sewajarnya.

    adhadi.com

    ReplyDelete
  3. Kasihan mereka ni apa cara nak dapat kan bantuan kewangan dari unchr

    ReplyDelete
  4. Kesian pelarian yg beragama Islam ini pun dilayan seperti PATI sedangkan mereka ada dokumen pengenalan sah dari UNHCR. Hormatilah sesama manusia agar kita boleh hidup dalam keadaan aman dan damai...

    ReplyDelete